BIRDFLY
Old_Cairo_by_Abdusalam
Ahlan wasahlan wa marhaban bikum...Selamat datang ke Laman Manifestasi Cinta....

Monday, January 05, 2009

Maal Hijrah bukti kejayaan gagasan Islam




PERISTIWA Maal Hijrah yang disambut sebagai permulaan takwim Islam iaitu pada satu Muharam adalah peristiwa penuh bersejarah kepada umat Islam khususnya dan umat manusia amnya. Peristiwa penghijrahan umat Islam dari Kota Makkah ke Madinah, satu tindakan perancangan penuh pengiraan jangka panjang untuk menterjemahkan gagasan dan wawasan Islam dalam bentuk penyusunan masyarakat bernegara.

Islam yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW bermula di Makkah sejak 13 tahun sebelum hijrah. Pada usia pengikut Nabi yang masih baru dengan Islam ketika di Makkah, banyak rintangan terpaksa mereka hadapi.

Mereka ditindas, dizalimi dan dipencilkan masyarakat jahiliah setempat di Makkah. Namun demikian, keimanan mantap disertai kepemimpinan, keilmuan dan teladan perilaku Rasulullah SAW sebagai contoh ikutan, umat permulaan Islam itu mampu menghadapi cabaran dengan penuh keyakinan kepada pencapaian kemenangan. Mereka mampu menghayati kebenaran dan hakikat itu membolehkan mereka membezakan antara yang benar dengan batil.

Pada awal usia Islam di Makkah, umat yang kecil bilangan itu disusun begitu rapi dan kemas oleh Rasulullah SAW serta sahabat Baginda. Mereka dididik dengan keimanan yang mantap dan disertai keilmuan Islam.

Ayat al-Quran yang diturun di Makkah bukan saja membina keimanan manusia hanya kepada Allah dengan menolak penyembahan patung berhala, tetapi sekali gus mendidik manusia pentingnya hidup bermuafakat dalam masyarakat untuk menegak kebenaran.

Pandangan hidup yang maju sesuai dengan sifat kemanusiaan itu sudah diperkenalkan oleh ayat al-Quran yang diturun di Makkah sebagai persiapan hidup bernegara kelak. Pandangan hidup yang maju memberi kekuatan untuk mereka mempertahankan daripada ancaman Quraisy Makkah masa itu.

Mereka meyakini pendekatan Islam adalah lebih unggul daripada sistem hidup jahiliah masa itu. Sistem hidup Islam memberi tempat untuk semua golongan tanpa memihak kepada suku kabilah tertentu. Setiap individu mempunyai tempat dalam masyarakat.

Pendekatan hidup Islam yang dihayati masyarakat awal Islam ini dianggap pembesar Quraisy pada masa itu sebagai satu ancaman berbahaya kepada sistem hidup jahiliah di Makkah. Sistem bermasyarakat jahiliah sedia ada akan dapat mengekal kedudukan keistimewaan mereka. Mereka akan terus berkuasa dan meneruskan penindasan ke atas masyarakat umum Makkah tanpa penentangan.

Memandangkan kota Makkah pada masa itu dikunjungi ramai masyarakat Arab dari beberapa tempat untuk beribadat di Kaabah dan berniaga, menjadikan Makkah sebuah kota penting. Golongan berkuasa terhadap kota itu mengaut keuntungan besar daripada peranan bandar itu.

Islam datang untuk merubah dan meroboh sistem jahiliah Makkah yang zalim dan tidak berperikemanusiaan itu. Islam membawa suatu tujuan untuk membangun masyarakat Makkah ke arah suatu sistem yang mendukung kebenaran melalui pengabdian kepada perintah Pencipta manusia.
Allah menganjur penyusunan umat manusia hendaklah berasaskan semangat keadilan dan kasih sayang sesama manusia dalam bermasyarakat. Dasar itu sudah pasti memberi peluang yang sama untuk masyarakat umum Makkah.

Gagasan Islam ini memerlukan kepada kepemimpinan yang adil dan berusaha membina peribadi atau sahsiah manusia yang murni dan merdeka. Semangat keadilan dan peningkatan akhlak manusia mendukung kebenaran tidak boleh diterima pembesar Makkah pada masa itu.

Akibat penentangan hebat kaum jahiliah Makkah kepada umat Islam yang kecil bilangan pada masa itu, Rasulullah SAW memerintahkan sebilangan pengikutnya berhijrah ke Habsyah. Seramai 16 pengikut Rasulullah SAW mulai berhijrah ke Habsyah.

Rombongan itu kembali semula ke Makkah selepas mendapat berita Umar bin Khattab masuk Islam. Pengislaman Umar menambah kekuatan kepada perjuangan Islam di Makkah.

Walaupun kian hari Islam makin bertambah kuat, namun permusuhan Quraisy terhadap pengikut Islam kian meningkat. Mereka memutuskan untuk membunuh Nabi SAW dengan menggemblengkan kesemua suku kaum Quraisy di Makkah.

Quraisy jahiliah merancang, Rasulullah SAW dan pengikutnya turut merancang. Dalam suasana sedemikian, Allah membuat penentuan semoga Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Sebelum itu Rasulullah SAW sudah mempunyai perhubungan sokongan dengan beberapa penduduk Madinah yang datang ke Makkah untuk beribadat di Kaabah.

Mereka yang datang dari Madinah ini mampu didekati Rasulullah SAW dan sahabatnya. Mereka meyakini kepada Islam dan terus menyebar Islam sekembali ke Madinah.

Penghijrahan Rasulullah SAW dan golongan Muhajirin Makkah diterima baik oleh orang Ansar Madinah. Dasar muafakat yang luar biasa antara mereka, prinsip Islam mampu dilaksanakan untuk membangun masyarakat Islam di Madinah.

Masyarakat Madinah yang berbilang kaum dan agama ditadbir dengan panduan perlembagaan dikenali sebagai Shahifah Madinah. Perlembagaan itu dibina di atas semangat keadilan dan kasih sayang umat manusia.

Di atas kejayaan itu, Madinah di tadbir dengan baik sehingga suasana politik dalamannya mampu berperanan dan urusan pembangunan negara berjalan lancar. Penghayatan prinsip bermasyarakat secara Islam di Madinah adalah kemuncak kepada kejayaan Islam.

Masyarakat majmuk Madinah mampu dan bersedia tunduk menghormati kepada nilai Ilahi. Umat Islam pada awal penghijrahan adalah masyarakat minoriti. Namun, dengan kewibawaan kepemimpinan Rasulullah SAW melaksanakan prinsip Islam, umat bukan Islam merasai mereka turut maju dengan Islam. Itulah kejayaan anjuran Islam dalam menyusun umat manusia bermasyarakat dan bernegara.

Walaupun ada permusuhan dan kerenah kaum musyrik Yahudi di Madinah, tipu helah dan penentangan mereka mampu ditumpas kepemimpinan Rasulullah SAW. Kewibawaan kepemimpinan dan akhlak mulia umat Islam di bawah teraju Rasulullah SAW mampu membawa masyarakat Madinah terus membangun dan maju. Tamadun manusia yang menjadi ikutan umat manusia dulu dan sekarang dibina dengan teguh dan mulia oleh Rasulullah SAW di Madinah.

Peristiwa hijrah yang menjadi asas kepada takwim Islam perlu dikaji dan direnungi umat Islam dewasa ini dalam membina serta menyusun umat manusia berpaksikan nilai Ilahi berteraskan kebenaran melalui roh keadilan, halangan yang besar sudah pasti menjadi lumrah.

Risalah nabi yang diperintah Allah untuk menegak kebenaran kepada penyusunan umat manusia terpaksa melalui liku dan ranjau yang pahit. Islam hanya boleh dibangun dan dibina atas ketokohan pemimpin, kemantapan pengikut melalui keilmuan, keimanan dan kecintaan jitu umatnya kepada Allah mengatasi segala habuan nafsu duniawi.

Peristiwa hijrah mengajar kita kepada erti pengorbanan. Kehidupan manusia pada hakikatnya jika mahu berjaya perlu melalui liku dan ranjau. Usaha kita adalah penentu kepada kejayaan masa depan sendiri.

Kejayaan umat Islam Makkah (Muhajirin) yang terpaksa berhijrah demi untuk menegak keadilan Ilahi dan seterusnya usaha muafakat membangun Islam dengan kaum Ansar di Madinah menjadi satu pengajaran penuh erti. Ini untuk mereka yang mencari dan menegak kebenaran demi memperoleh restui Allah.

Peristiwa hijrah sangatlah tepat untuk bermulanya takwim Islam. Ia satu peristiwa tindakan perancangan membangun Islam secara syumul. Bagi Islam, setiap masa berlalu perlu kepada kita untuk menilai usaha yang silam dan mengatur langkah untuk masa yang akan ditempuhi.

Jika peluang dirasai sesuai, setiap umat Islam perlu merebutnya ke arah mendaulatkan ajaran Islam, yang sesuai dengan fitrah kemanusiaan bermasyarakat dan bernegara.

 
© Copyright by manifestasi cinta  |  Template by yuszas.blogspot.com